Renjis Ramadhan : Nuzul Quran Ruang Penghayatan Kitab Suci
Posted by
aapi83
Labels:
Aku Di Bumi Allah
Bulan Ramadhan Al-Mubarak kini telah melepasi pertengahan bulan yang mana umat Islam digalakkan untuk meningkatkan amal ibadah mereka. Pelbagai peristiwa juga dikaitkan dengan pertengahan dan pengakhiran Ramadhan. Antaranya adalah diturunkan Al-Quran pada pertengahan bulan iaitu pada 17 Ramadhan yang mana pada 17 Ramadhan juga telah berlakunya Perang Badar yang tercatat di dalam lipatan sejarah Islam. Selain itu, umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadah pada malam-malam terakhir Ramadhan yang mana terdapat padanya malam LailatulQadar.
Hari ini, umat Islam diseluruh negara meraikan sambutan Nuzul Quran dan banyak program-program keagamaan yang dianjurkan oleh pihak masjid bagi membangkitkan ingatan orang ramai terhadap satu lagi peristiwa bersejarah yang patut diraikan oleh semua umat Islam.
Al-Quran jika dilihat pada maksudnya adalah bacaan atau himpunan yang mana di dalamnya terdapat pelbagai perkara berkaitan urusan seharian melibatkan soal tauhid, ibadat, jinayat, munakahat, kenegaraan, muamalat serta di dalamnya juga terungkai persoalan Sains dan Teknologi. Begitulah kehebatan mukjizat Al-Quran dan jika dihayati tentang isi kandungan dan intipati ayat-ayat suci Al-Quran, ia mampu memberi kesedaran dan memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja yang membaca dan mengahayati maksudnya.
Al-Quran diturunkan kepada umat manusia sebagai panduan dan bimbingan dalam meniti kehidupan yang sementara di dunia ini. Al-Quran jika dihayati dan diikuti secara keseluruhannya, merupakan panduan perlembagaan yang terbaik untuk kehidupan dan semua makhluk di dunia. Selain itu, Al-Quran juga sebagai penawar dan penyembuh dari pelbagai penyakit hati. Ini jelas digambarkan menerusi ayat Al-Quran yang bermaksud : “Sesugguhnya sudah datang kepadamu sebuah pelajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang berada di dalam dada)” (Surah Yunus: 57).
Pembacaan dan penghayatan Al-Quran pada masa kini dilihat benar-benar penting bagi mengelak dan menjauhkan umat Islam dari pelbagai penyakit sosial yang benar-benar merugikan masyarakat. Remaja masa kini benar-benar telah menjauhi Al-Quran dan sering mendekatkan diri mereka dengan dunia hiburan yang melalaikan. Bersempena dengan sambutan Nuzul Quran, marilah kita kembali kepada ajaran Al-Quran dan janganlah kita sesekali menjauhkan diri dari Al-Quran kerana pembacaan dan penghayatan terhadapnya benar-benar mendatangkan ketenangan kepada diri kita.
Kepada golongan remaja, jadikanlah Al-Quran sebagai pendamping dan dekatkanlah diri kepada Al-Quran sebagai panduan terhadap kebenaran yang kekal selamanya. Menurut buku ‘Penjelasan Mengenai Al-Quran’ yang dikeluarkan oleh Bahagian Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, terdapat beberapa perkara yang dapat dikongsikan bersama sebagai panduan mendekatkan dan menghayati pembacaan Al-Quran :
* Yakin terhadap kebesaran dan keagungan ayat-ayat yang dibaca. Keyakinan itu bersandarkan bahawa ayat-ayat yang dibaca itu adalah kalam Allah yang memiliki dan memerintah sekelian alam dan Allah jugalah yang menurunkannya (Al-Quran) dan difardhukan kepeda hamba-hambaNya mengikutinya serta diwajibkan kepada mereka beriltizam dengan segala tuntutannya. * Yakin bahawa Al-Quran menjadi makanan hati dan jiwa pembaca, matlamat segala segala keperluannya dan kelazatan rohnya. Ia juga menjadi penawar terhadap apa saja kesulitan yang dihadapi oleh manusia seperti kepedihan, dukacita, masalah peribadi dan masyarakat. * Sentiasa takutkan azab Allah dan seksaanNya sekiranya berpaling daripada Al-Quran dan penghayatannya.Jadi, bersempena dengan sambutan Nuzul Al-Quran, marilah sama-sama kita mendekatkankan diri dengan Al-Quran dan menjadikan AL-Quran sebagai wadah pembangunan jiwa dan rohani yang bersih.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment